Sya’ban Kembali

Kehidupan bertali arus tanpa henti

Setiap langkah ku atur penuh teliti

Tersisip kenangan, kerinduan, kesedihan yang tiada sempadan

Bagaimanapun kental ku pasong semangat

Bagaimanapun kental ku pasak ketabahan

Nun di bawah lembayung ketenangan wajah, ku lindung secalit luka

Perit walau tidak berdarah

Pedih walau tidak bernanah

 

Sadar….  si kecil itu tak mungkin kembali

Betapa si ibu ini merinduinya mengasihinya

Kerna perjalanan hidup tertanda sempadannya

Memenuhi ketetapan aturan Ilahi

Susunan duka yang tersirat kerahmatanNya.

 

Allah….

Adakala ku rasa hilang pedoman

Ibarat kapal hanyut di lautan gelora

Menunggu di hempas ombak ganas..

Tatkala itu, kematian kerap terbayang

Apakah nasib ku di alam barzakh

Bagaimana hidupku di akhirat sana..

 

Sentakan itu kembali mengingatkanku

Untuk kembali ke alam nyata, kembali menyambung tugas

seorang hamba kepunyaan TuanNya

 

Aku terus berharap, menyemai jutaan doa

Moga Allah terus mengasihi hamba kerdil lagi berdosa

Di alam maya ketenangan ini

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Nursery Kayangan

Hari ini, di dalam kesibukan membantu Baba membersihkan kawasan rumah, Mama asyik terpandang Ammar di sana sini.  Terpandang Ammar bermain di halaman rumah.  Terpandang Ammar ketawa riang sambil berlari-larian di halaman rumah.  Gembira sungguh rasa hati Mama bila tengok Ammar gembira bermain dulu..  Ya Allah, rindu nya Mama pada Ammar..

Ya Allah, Kau letakkanlah anakku Ammar Izzuddin di kalangan hambaMu yang Kau kasihi.  Lindungi lah dia Ya Allah, di bawah payung kasih sayang, belaian rahmat Mu, Ya Allah.  Izinkan aku untuk merindui dan mengasihani dia dari jauh, Ya Allah..  Ampunkanlah aku Ya Allah, hambaMu yang lemah ini..

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Cahaya Mata

16 Januari 2012, jadual ku sudah terlewat.  Selepas solat isyak, aku mengambil tester yg kebiasaannya aku simpan stoknya. Keputusannya…positif.  Aku pun memanggil suamiku.. “Bang! 2 tanda!”.  Suamiku menjawab, “Positif ya.. oklah”.  Bersahaja seperti tiada apa-apa berlaku..  Dalam kami menyambung menonton tv, suamiku bertanya, “Positif ke? Betul ke positif?”.  Barulah masing-masing tersedar, rupanya aku mengandung..

Tapi kegembiraan itu tidak berpanjangan.  Keesokan harinya, perutku memulas dan aku mengalami pendarahan.  Bila mendapatkan rawatan daripada doktor, doktor mengesahkan aku mengandung tetapi janin sudah jatuh atau beralih daripada kedudukan yang sepatutnya.  Atas nasihat doktor, D & C pun dilakukan.

Ada sedikit rasa kecewa..  Ada juga rasa syukur..  Syukur kerana keguguran ini berlaku pada tahap yang awal.  Syukur kerana aku masih mampu untuk mengandung.

Ketika ini, aku masih memaksa diri untuk tidak terlalu aktif..  Mengurangkan aktiviti harian.  Mudah-mudahan Allah mengurniakan lagi aku rezeki ini. Rezeki cahaya mata..  InsyaAllah.

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Surat Untuk Ammar

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat anak Mama, Ammar.

Telah berkumandang takbir raya selepas maghrib tadi.  Sayu nya  hati Mama mendengar takbir.  Teringatkan Ammar dan nenek Ammar.  Sebenarnya sudah seharian, hati Mama sayu, air mata dah berjuraian.  Baba pula seharian di kebun, menanam pisang.  Mama pasti, dia juga rindukan Ammar, cuma dia selalu menyibukkan diri.  Dua tiga malam ni mama lihat dia baca buku “Keseronokon Roh Kembali Kepada Allah”.  Mama pasti dia sangat rindukan Ammar.  Kami selalu doakan semoga Ammar bahagia di sana ye Nak.

Ammar,

Mama sangat ingin bertemu dengan Ammar, sayang.  Mudah-mudahan  Allah mendengar doa Mama.  Semoga Allah melorong Mama dan Baba di kalangan orang yang di beri keimanan yang kukuh.  Setiap orang pasti mati, itu Mama yakin.  Masanya saja yang kita tidak tahu bila dan di mana.

Ammar,

Mama tidak tahu bagaimana keadaan Ammar di sana.  Mudah-mudahan Allah pelihara anak Mama ini.  Anak Mama yang bersih dari dosa, anak yang pernah membahagiakan Mama dan Baba.  Ammar, adalah anugerah yang terbaik dalam hidup Mama. Maafkan Mama kerana tidak dapat tunaikan beberapa permintaan Ammar.  Apa yang Ammar minta selalu Mama ingat.  Kadangkala Mama rasa bersalah kerana tidak tunaikan permintaan Ammar.  Ajal dan maut itu hak Allah, Pencipta Kita.  Pastinya Dia telah merencana sesuatu yang terbaik buat Ammar, Mama, Baba, juga buat nenek Ammar. Mudah-mudahan kehidupan Ammar di sana lebih bahagia daripada hidup Ammar di samping Mama ye sayang.

Ammar,

InsyaAllah, minggu depan Mama akan mulakan kelas pengajian Al-Quran untuk anak-anak sebaya Ammar.  Pasti nanti Mama akan teringat saat-saat kita bermain dan belajar.  Saat Mama ajar Ammar nyanyi, belajar A B C.  Rindunya Mama nak dengar Ammar nyanyi lagu “Aku Cinta Sayang Kamu”, yang di nyanyikan oleh Black.  Lagu tu Mama tidak pernah ajar Ammar.  Rasanya Ammar belajar dengan mendengar dari tv atau radio.  Kalau lagu begitu, cepat sahaja menghafal ya..

Ammar,

Mama rindukan Ammar.  Doa Mama, moga Allah pinjamkan lagi penyejuk mata seperti Ammar.  Buat peneman Mama dan Baba dalam meniti kehidupan, ke usia tua kami.

Mama selalu bermohon kepada Allah, semoga memelihara anak kecil Mama ini dengan penuh kasih sayang.

Semoga Allah pertemukan kita suatu hari nanti ye Ammar..  Amin.

 

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Rindu itu lagi..

Aku membelek gambar-gambar di dalam pendrive.  Mencari gambar permandangan kampung yang pernah aku ambil sebelum ini untuk ku muatkan sebagai gambar latar blog ku yang baru, “Our Little Caliphs.blogspot.com.  Dalam berhati-hati, aku tenang kan hati untuk tidak terkesan dengan gambar-gambarnya yang pastinya memenuhi pendrive ku itu. Ku keras hati untuk tidak merasa goyah.

Terpandang aku gambarnya comel berposing di taman permainan, hentian rehat lebuh raya Paguh.  Aksi-aksinya yang tersenyum manja di depan lanser kamera. Begitulah kata-kata pakcik-pakciknya, “Muka dia ni muka manja, muka anak Arab pun ada jugak”. Muka anak Jawa yang kelihatan Arab kot. Ya Allah, rindunya aku pada nya.  Sekilas gambarnya telah membuat airmataku berjuraian.  Aku menahan sendu, menyorok kesedihan supaya suamiku yang sudah pun di perbaringan di depan television pada saat ini, tidak menyedari tangisanku ini.

Beginilah bila kerinduan itu menyapa.  Apa yang mampu ku lakukan ialah berhenti berfikir sejenak dan berzikir, berzikir dan berzikir.  Mengingati kasih sayang Pencipta kepada hambanya. Hingga aku mampu membawa diri ku balik kepada realiti kehidupan.  Realiti kehidupan yang suatu hari nanti, aku pasti berada di tempat di mana anak ku berada sekarang.

Tengahmalam. Suamiku yang mungkin sudah pun lena di ulit mimpi, di depan tv.  Bilik tidur kami dulu, masih belum berpenghuni.   Tiada seorang pun antara kami yang boleh melelapkan mata di bilik itu, walaupun sudah di cat baru, tidak kira di waktu siang mahupun malam.  Bilik yang sarat dengan kenangan, gurauan, dodoian kami menidurkan dia.  Entah bila bilik itu mampu kami huni.  Biarlah masa yang merawat kerinduan dan kesedihan ini.  Yang pasti, Khalifah kecil kami itu tetap akan berada dekat di jiwa ini.

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Mimpi Semalam..

Tersedar di subuh hari, melihat jam tepat 5.45pagi. Subhanallah, aku bermimpikan dia. Terus laju air mata ku mengalir tanpa dapat ku tahan. Suamiku di sebelah, terjaga, terus bertanya, “Kenapa ni?” Dalam tangisan yang tidak dapat ku kawal, “Saya mimpi Ammar, bang.”

Ya Allah, aku berserah, bersujud kepada Mu, kasih sayangMu, keampunanMu, kekuasaan Mu. Aku pasti setiap perjalanan kehidupanku yang telah Kau tetapkan, pastinya yang paling terbaik buatku. Sesungguhnya Kau Pencipta langit & bumi, malam & siang, Pencipta setiap makhluk yang nyata mahupun yang ghaib.

Ya Allah, ku bermohon, Kau lorongkan aku ke jalan Mu. Lorongkan aku untuk menjadi hamba yang Kau rahmati & kasihi. Jadikan aku hamba Mu yang sentiasa bersyukur. Ya Allah, mati kan aku dalam iman yang tidak berbelah bagi kepada Mu, Ya Allah.

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Setahun Berlalu..

Jika di ikut tarikh Masihi, sudah genap setahun berlalu, namun ingatan itu masih terlalu segar di ingatan. Adakala kesedihan tak mampu aku tahan. Namun aku akan terus dan terus berdoa dan memohon, moga aku dan suami akan terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menurusi perjalanan hidup ini.

Semalam, aku terasa begitu rindu untuk menatap wajahnya, ku gagahi menilik gambarnya yang masih tersimpan rapi dalam memori talifon bimbitku. Sempat juga ku buka satu dari 7 video yang pernah aku rakam. Aku mendengar suara nya, guraunya. Melihatnya senyumnya, keletahnya. Ya Allah, ampuni aku kerana jiwaku masih dihurung kerinduan dan kesedihan pemergian pulang seorang hambaMu.

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Kenangan..

Setiap kali dia bertindak memukul neneknya atau menarik rambut neneknya, pastinya aku akan memukul tangannya, untuk menyampaikan mesej bahawa tindakannya salah. Bila terasa sakit, dia akan menangis dan terus mendepakan tangannya, meminta aku memeluknya. Aku pasti akan memeluknya sambil mengusap kepala, meredakan tangisnya sambil mulutku menasihatinya supaya tidak memukul atau menarik rambut neneknya lagi.

“Ammar jangan lah pukul nenek. Kesian nenek, Kan nenek selalu main tembak2 dengan Ammar. Nenek masakkan nasi Ammar. Nenek temankan Ammar tidur. Ammar jangan pukul nenek lagi ye! Mama love you. I love you”.. Tangisnya reda dan dia mengangguk2kan kepalanya.

Mungkin kerana dia tiada kawan untuk bermain, jadi nenek lah tempat dia melepaskan karenahnya.. Selepas setiap kali dia dihukum kerana memukul nenek, dia seperti teragak2 untuk memukul neneknya..

Ibu mertua ku berkata “Bila dia nak memukul emak, dia melihat sekeliling, mencari kau. Bila dia tengok ko ada, dia tak jadi memukul. Dia takut dengan kau. Dengan mak, dia tak takut”.. Berjaya juga misi ku..

Suatu malam, sewaktu aku ingin mengangkat Takbir, sembahyang maghrib, berjemaah dengan suamiku, terdengan tangisan Ammar. Aku memberhentikan solatku dan menjengah. Kelihatan satu adegan peluk memeluk antara si cucu dan si nenek.. “Nekkk, maafkan Ammar Nek, maafkan Ammar…!” Jelas suara Ammar menangis meminta maaf dengan neneknya dengan suara yang tersedu-sedu meruntun sayu meminta maaf.

Aku bertanya “Kenapa mak?”
Emak, “Emak cakap dengan dia, pukul lah nenek, nanti takder orang nak main2 dengan Ammar. Ammar main sorang2 nnti. Dia terus menangis pulak.. Emak nak menakut2kan dia aje”

Adu emak kepada ku. Pada masa itu, aku rasa hairan bercampur lucu, memikirkan apa lah si anak yang berusia 2 thn 11bln ini faham mengenai maaf.. Rupa2 nya inilah pertanda bahawa dia akan pergi meninggalkan ku, mama dan babanya untuk selama2nya..

Kini, neneknya juga telah pergi ke tempat yang dia telah sampai. Lebih kurang pukul 10 malam, 12 Mac 2011, ibu mertuaku telah kembali menemui Allah, Tuhan Semesta Alam. Suamiku dan aku berada disisi nya sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.. Kini Ammar telah bertemu teman main tembak2nya..

Ya Allah pada detik ini, betapa aku rindu kepadanya.. Rindunya aku pada pelukannya. Rindunya aku dengan teriakannya memanggilku. Rindu pada senyumannya, gelak tawanya. Rindu pada rengekannya meminta susu. Rindu pada keletahnya ketika menunjukkan mainan yang baru dibeli oleh emak atau babanya. Rindu dengan suaranya menyanyikan lagu twinkle2 little star, lagu dcl, lagu ‘aku rindu sayang kamu’ nyanyian Black..

Subhanallah, anak sekecil itu menyanyikan lagu ‘aku rindu sayang kamu’ – nyanyian Black.. Betapa kekuasaanMu, memberi aku peluang menikmati detik dia menyampaikan kasih dia pada ku..

Dia juga sering meminta aku memainkan lagu ‘ayah dan ibu’ nyanyian Allahyarham Sudirman. Katanya , “Ma, buka lagu emak & bapak!”.. Sudah di terjemah lagu ‘ayah & ibu’, mengikut kepada pemahamannya, ’emak dan bapak’..

“Ammar, rindunya mama pada mu, Yang!” Tak tergambar rasa sedih ini walaupun telah 8 bulan berlalu…

Ya Allah, ku serah segala resah, sedih dan rindu ku ini kepada Mu..
Sampaikanlah kasih ku ini kepada anak ku..
Sampaikanlah rindu ku ini kepada nya..
Pertemukanlah kami dalam situasi yang penuh bahagia Ya Allah.

Ya Allah, ampuni lah aku Ya Allah, kerana menangisi kerinduan ini.. Aku belum mampu untuk melepaskan kasih sayang naluri keibuan ini.. Ingatan dan kenangan nya masih lagi kukuh menyelubungi ku..

Ya Allah, aku bermohon kepadaMu, merayu kepadaMu, berilah aku kekuatan untuk melalui hari2 yang masih kau berikan kepada ku untuk bernafas, untuk menyembahMu, untuk mengumpul bekalan ke akhirat Mu..

Ya Allah, Kau bimbinglah aku supaya aku sentiasa berada di jalanMu.. Janganlah Kau biarkan aku jauh dari
Mu, Ya Allah.

Ya Allah hanya kepada Mu tempat aku berserah, tempat aku mengadu dan tempat aku meminta pertolongan..

Amin.. Ya Rabbilalamin..

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Sabarlah wahai Hati, Kuatlah wahai Jiwa

Tiada satu hari pun berlalu tanpa aku terbayang dia mengayuh basikal di dalam ruangan rumah
Tiada satu hari pun berlalu tanpa aku terdgr2 dia memanggil ku, di kala aku solat subuh, meminta aku membuat kan susu untuk nya..
Tiada satu hari pun berlalu tanpa aku terbayang detik2 aku memandikannya sambil menyanyi dgn nya dlm bilik mandi.
Tiada satu hari pun berlalu tanpa aku terngiang2 lagu2 yang kami nyanyikan sama2, dlm perjalanan ku menghantarkan nya ke rumah penjaganya..
Tiada satu hari pun berlalu tanpa aku terbayang dia baring di riba ku sambil dia menghisap susu & aku mengusap2 kepala nya.
Tiada satu hari pun berlalu tanpa aku terpandang dia duduk di atas katil, sambil memerhatikan aku bersolek & bersiap..

Ya Allah, kadang2 aku buntu untuk berfikir..
Bila rindu menghurung hati ku.. bila ingatan padanya menghurung mindaku
Bagaimana harus aku buang rindu ini.. Rindu seorang ibu kepada anak nya..

Ada masa nya aku memohon supaya Kau, Ya Allah lepaskan lah mimpi ngeri ini dari hidupku..
Bangun kan lah aku dari terus bermimpi ini..
Berilah aku peluang untuk mencurah kasih sayang seorang ibu ini kepada anaknya..

Ya, Allah, hanya kepada Mu tempat aku mengadu & hanya kepada Mu, tempat aku meminta pertolongan..

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Tatkala Rindu itu Datang Bertandang..

Tatkala rindu ini datang bertandang, sungguh aku rasa tidak bersemangat. Di kala itu, apa yang mampu, aku akan terus mengingati Allah, berzikir untuk menghilangkan bebanan perasaan yang aku rasa bagai batu besar menghempap dada. Tapi yang pasti, rindu itu tetap ada..

Adakala nya, aku rasa ingin meluahkan kepada suami. Tapi aku tahu, dia sendiri akan menyerap perasaan itu dan dia akan kembali murung walaupun untuk seketika.. Jadi aku cuba untuk melalui detik kerinduan ini..

Aku tahu, tiada apa yang boleh memberiku kekuatan untuk melalui detik ini melainkan dengan mengingati Allah. Anakku telah dipanggil balik oleh Pencipta Nya, yang telah mencipta seorang anak yang cukup sempurna untuk aku, mamanya. Yang cukup menyejukkan hati Mama & Baba nya. Yang cukup menceriakan hidup kami sekeluarga, termasuk neneknya. Menggunung harapan yang terlintas dihati seorang ibu ini.. Pernah terlintas di fikiran ku, mampu kah aku mendidik dia menjadi seorang anak yang berjaya di dunia & di akhirat? Mampukah aku memberinya pendidikan yang terbaik sehingga dia mampu menjadi seperti Angkasawan Pertama Negara? Angan-angan seorang ibu, untuk menjadikan anaknya seorang angkasawan, tapi itulah yang terlintas di minda ku.. Begitu jauh minda ku mentelah masa, sedangkan rupa nya dia hanya di pinjamkan kepada ku untuk 2 tahun 11 bln..

Terngianga-ngiang detik dia meminta dibelikan KFC setiap kali balik dari berkunjung ke kedai ku di Kulai.

Teringat detik dia meminta nasi sedang jam baru pukul 11 pagi, selagi aku tak bawa nasi & menyuap nya, dia akan terus memanggilku. Kelam kabut aku menggoreng ikan.. Lauk segera adalah ikan goreng + kicap.

Teringat detik di shopping complex, dia melihat satu hiasan meja yang berbentuk kepala burung helang & dia begitu kecoh memanggil ku untuk menunjukkan ada burung diatas rak2 baju.. Dia siap melambai burung itu sewaktu pulang & berkata “Babai burung, Ammar balik dulu, nanti Ammar datang lagi!”.

Terbayang detik dia berbaring di atas lantai di kedai sambil menghisap susu di sebelah ku, sambil mendengar lagu ‘ayah & ibu’, nyanyian arwah Sudirman.. Dia meminta lagu itu di rewind beberapa kali, siap dia berdiri di depan ku, seolah-olah dia menyanyi lagu itu.

Terbayang detik di kala aku balik ke rumah, mesti dia menunjukkan dengan bangga nya, sebarang mainan yang di beli sama ada dengan Baba nya, maupun dengan arwah maknya..

Terngiang-ngiang suara nya menyanyikan lagu twinkle twinkle litte star, sewaktu sepanjang perjalanan ke rumah baby sitter.  Aku akan menyanyi bersama-sama dengannya hinggalah sampai ke rumah maknya itu..

Teringat detik dia memegang muka ku dengan kedua belah tangan nya & berkata “Ma, I luv U”, dengan gaya pronounciation keanak2an nya..

Terakhir permintaan nya ialah dia ingin kasut yg berbunyi bila di pijak.. “Ma, Ammar nak kasut nyit! nyot! nyit! nyot! yer”. Ku rancang untuk ku belikan dia kasut itu di hari raya nanti yang hanya sebulan setengah lagi. Pernah ku belikan kasut itu ketika dia baru mula berjalan. Tapi kali ini, hajatnya tak sempat ku tunaikan.

Kebiasaannya bila dia nakkan sesuatu, pasti setelah dia meminta dari Babanya, pasti di ulang ayat yang sama padaku & akan di ulang hingga aku memberi persetujuan..

Adakalanya, aku terfikir, adakah mampu aku melalui sakratul maut, seksaan kubur, balasan di akhirat kerana itulah sahaja laluanku untuk ku menemui anak ku ini.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Kau dengarlah rintihan rindu seorang ibu ini.. Berilah aku kekuatan untuk melalui detik-detik getir ini, Ya Allah.  Kau pelihara lah dia Ya Allah, dengan rahmat Mu. Kau pertemukan lah kami dalam suasana yang bahagia. Berilah aku peluang untuk memberikan kasih sayangku kepadanya Ya Allah.

Ya Rabbi, Kau lorongkan lah aku ke jalan Mu, Ya Allah.. Dan matikan lah aku dalam iman Mu Ya Allah…

Categories: Uncategorized | Leave a comment

Blog at WordPress.com.